Isnin, November 17, 2008

Bahasa Menunjukkan Bangsa Malaysia?


Sesungguhnya, dengan kemenangan Barack Hussein Obama dalam merebut jawatan Presiden Amerika Syarikat mencetuskan pelbagai analisis, pendapat, perbincangan dan tidak kurang juga permintaan serta jangkaan. "Permintaan dan jangkaan" yang saya maksudkan di sini adalah, apakah mungkin Malaysia bakal dipimpin oleh seorang Perdana Menteri bukan berbangsa Melayu?

Begitu juga dengan kenyataan susulan daripada Tun Dr Mahathir tentang Perdana Menteri berbangsa Malaysia. Berbagai-bagai reaksi yang diterima dan tidak kurang juga ulasan-ulasan yang diberikan baik penganalisis rasmi dan tidak rasmi, para blogger mahupun pakcik-pakcik di warung-warung kopi. Siapa yang jadi Perdana Menteri bukan Melayu pertama bukan tujuan utama artikel ini ditulis, tetapi lebih kepada antara persoalan asas yang perlu kita pertimbangkan.

Cuba baca artikel Kijangmas dan Husin Lempoyan yang antaranya membicarakan kebolehan berbicara dalam Bahasa Melayu/Malaysia/Baku (rujuk komen di artikel Kijangmas tersebut yang diberikan oleh "A true Malaysian said..."). Soalan pertama: Apakah dia Bahasa Malaysia?

Jika diolah bagaimana sekalipun, Bahasa Malaysia mahupun Bahasa Melayu, ianya tetap berasaskan bahasa yang digunakan oleh Melayu yang telah dicampurkan unsur-unsur baru yang bersesuaian dengan peredaran zaman. Mungkin tidaklah selalu kedengaran berkanda dinda, mahupun berpatik berhamba, tetapi intipatinya tetap melayu. Dan sudah tentunya, rakyat Malaysia sedar yang bahasa ini merupakan bahasa rasmi Malaysia sepertimana yang termaktub dalam perlembagaan Malaysia.

Saya akui, ada tika dan saatnya, 'penjenamaan' bahasa ini bagaikan tidak selesai. Ada ketika "Bahasa Melayu" dan ada masanya "Bahasa Malaysia". Sebagaimana komen yang ditinggalkan di artikel Kijangmas, (yang juga mengambil kira senario sekarang), Bahasa Malaysia lebih sesuai bagi membentuk Bangsa Malaysia. Buat Melayu, janganlah diperdebatkan isu "hilang kemelayuan" dalam bahasa Malaysia kerana, bahasa ini telah mengalami evolusi yang bersesuaian dengan peredaran zaman. Kita ambil contoh jiran kita, Indonesia. Bahasa rasminya disebut Bahasa Indonesia, tetapi hakikatnya adalah Bahasa Melayu Indonesia, yang sedikit sebanyak, loghat dan nahu bahasanya masih dapat kita fahami.

Oleh itu, seharusnya permasalahan bahasa dalam membentuk Bangsa Malaysia tidak menjadi begitu sukar, bukan? Sekurang-kurangnya asas komunikasi telah dapat dibentuk. Soalan seterusnya, bagaimana pula kepentingan dan penguasaan Bahasa Malaysia?

Tidak lama dahulu, saya telah melawat satu blog dan berbicara dengan penulis blog berkenaan yang mana ada menyentuh isu bahasa. Ianya tentang penggunaan bahasa dan peluang pekerjaan. Lihatlah bagaimana alasan yang diberikan, yang mana jika hal sebegini diremehkan, tidak mustahil pelbagai isu lagi yang boleh diremehkan. Jika alasan itu kerana penggunaan bahasa, seharusnya, Bahasa Malaysia harus dikuasai dan dipetuturkan tanpa lidah tergeliat mahu menyebutnya oleh Bangsa Malaysia.

Wallahualam...

p/s: teringat surat elektronik (e-mail) tentang translasi terus tentang 'joystick'..hehehe