Rabu, April 16, 2008

Kayakah anda? (bahagian 2)

Minda ini masih ligat berfikir...idea yang tercetus di dua artikel sebelumnya lebih kepada persoalan mengapa ada antara kita (atau kita) lupa (atau terlupa) tentang tanggungjawab.
Tidak lama dahulu, seingat saya ada usaha cuba untuk meramaikan golongan bukan melayu untuk menyertai polis dan tentera. Dan sebagai seorang anak bekas polis (dan cucu polis) saya merasakan kurang sedarnya tanggungjawab menjadikan generasi sekarang gah hanya di luar, tetapi bukan di dalam.

Orang dahulu lemah tidak berupaya kerana tiada kemampuan kewangan, tetapi punya semangat dan perasaan tanggunjawab yang kuat. Tika ini, bukan tiada, tetapi semakin kurang golongan ini. Zaman sekarang memang orangnya lebih berkemampuan dari segi kewangan, tetapi lemah bila berhadapan dengan wang. Apabila iman tiada, nilai ringgit jadi ukuran, rasuah bukan lagi suatu satu persoalan.

Ada orang pernah bertanya, kenapa harus saya kembali ke Malaysia dan bekerja disini, tetapi tidak di luar negara. Saya akui, hendak seribu daya, tak nak, seribu dalih. Visa mati, boleh diperbaharui. Duit sana lebih besar. Saya dapat lihat itu.

Dan saya dapat lihat juga bagaimana di negara kita yang menjanjikan peluang pekerjaan kerana orang kita tak mahu merebutnya di negara sendiri. Bagaimana ada kemungkinan, kuasa ekonomi mungkin dikawal oleh orang lain. Bagaimana saya berfikir, jika tiba saat itu (nauzubillah), betapa hebat pun pengalaman saya, betapa bagusnya saya, jika tiada pegangan kuasa ekonomi, saya dan juga anda hanya jadi penonton ekonomi Malaysia.

Atas dasar tanggungjawab jugalah, saya berfikir..andai semua ingin mengejar kekayaan...mampukah wang ringgit membantu bila kita diserang? Kita mungkin mampu membeli senjata canggih, tetapi tanpa semangat dan perasaan tanggungjawab, kita mati tanpa sempat bertempur (silap-silap bukan mati di tangan lawan, tetapi mati dek senjata sendiri).

Kita mudah menuding jari..kadar jenayah tinggi, salahkan pihak berkuasa, salahkan polis...padahal, kita juga penyumbang. Berduit, berharta dan berlagak. Kena rompak (dan sebagainya), lapor pada polis, "claim" insurans. Dalam pada itu, salahkan polis kenapa lambat bertindak, kenapa jenayah tinggi. Jangan kerana anda pemabayar cukai (itu pun kalau bayar), polis itu hamba abdimu.

Dan fikirkan, dalam jenayah pun, prisnsip "supply dan demand" pun boleh dipakai - "supply" sebab ada peluang dan "demand" sebab ada orang nak. "Nak" kerana duit menjadi raja...
Apabila perasaan dan hati menguasai akal, manusia tiada bezanya dengan haiwan...

Fikir-fikirkan...

analogi tikus belanda

Ada sesetengah artikel tentang pengurusan kewangan dan ke arah lebih kuasa kewangan memberi analogi hidup makan gaji bagaikan tikus belanda yang terkurung dalam sangkar, berlari (tak kisah lari pecut atau marathon) di dalam roda itu yang berdasarkan artikel, tidak ke mana. Yang ada cuma penat lelah sahaja (dan otot-ototnya yang mungkin bertambah pejal atau sekurangnya tak gemuk dan hidup secara sihat, malah mungkin lagi sihat daripada yang membelanya).

Sebagai seorang yang juga makan gaji sepertimana orang kebanyakan, analogi itu boleh dikatakan sesuai JIKA orang yang makan gaji itu gagal menguruskan perbelanjaan dengan sebaiknya. Dengan bahasa yang lebih mudah, analogi itu mungkin bersesuaian bagi orang yang berbelanja tidak mengikut ukuran badannya sendiri.

Namun, perspektif saya mungkin lebih daripada itu kerana, adalah kurang adil dan tepat bagi orang yang berpendapatan rendah. Mengapa? Mudah...kadar inflasi dan meningkatnya kos hidup kerana orang yang berniaga yang inginkan pulangan yang tinggi dan cepat, bukan orang bergaji kecil.

Ini analogi tikus belanda saya pula:

Antara sedar atau tidak, adakah anda perasan, setiap kali bonus atau kenaikan gaji diumumkan (dan untuk saya satu lagi, bila ada orang kaya baru), pasti ada peniaga yang ingin mengaut keuntungan lebih dengan cara samada menaikkan harga, menurunkan kualiti bahan jualan atau naik harga dan kualiti turun. Pasti ada yang ingat bilamana suatu ketika dahulu harga tepung naik yang cuma entah berapa sen, tetapi setiap roti canai naik 10 sen (dimana setiap keping roti canai tu tak pakai pun sepeket tepung).

Maka, baik orang yang makan gaji atau berniaga (tidak kisah la meniaga apa), bayar lebih untuk makan roti canai. Oleh kerana roti canai, orang makan gaji minta naik gaji dan yang berniaga pun buat benda yang sama dengan peniaga roti canai. Maka kitaran roda "tikus belanda" (atau roti canai) pun berlaku secara tidak disedari.

Maka, saya kira meletakkan analogi tikus belanda (roti canai) berlatarbelakangkan orang bekerja makan gaji agak kurang sesuai jika diperluaskan skop pandangan. Janganlah kerana anda berpendapatan tinggi, anda memperlekeh orang di bawah.

Kerana, tanpa disedari, apabila diperluaskan skop itu...semua orang adalah "tikus belanda" semata hanya sekeping kertas yang dipanggil wang/duit...

Sesungguhnya kita semua hamba Allah yang lemah...yang punya tanggungjawab bukan terhadap diri sendiri sahaja..tetapi juga untuk memakmurkan hidup ini...
Menasihati orang dalam urusan kewangan biarlah berhemah..kerana silap-silap, kita juga yang terkucil dikemudian hari...

Isnin, April 14, 2008

Kayakah anda? (bahagian 1)

Sementara menanti masuknya waktu isyak, saya meluangkan masa membaca blog-blog dan catatan orang lain. Daripada nukilan hasil pengantin baru, Najib dan Ain (http://www.perfectexcel.com/) hinggalah ke Irfan Khairi, pengisian blog masing-masing berfaedah dan boleh difikirkan.

Lantas, sebagaimana lazimnya apabila membaca bahan-bahan berkaitan kemampuan kewangan, akan tertimbul beribu persoalan.

Tidak dinafikan, sesiapa pun inginkan hidup mewah, bahagia bersama keluarga dan mempunyai kuasa membeli yang kuat. Kepada yang sudah berjaya, tahniah kerana anda memang berhak.

Cuma, apabila difikirkan...sesetengah daripada kita terlupa akan sesuatu bila membuat keputusan (ini bukan ayat merajuk atau frust sebab tidak kaya lagi ye). Apa maksud saya lupa?

Ada antara kita yang sudah menjadi doktor, guru, dan yang sebagainya yg sudah tentu mempunyai tanggungjawab masing-masing terhadap diri sendiri dan masyarakat seakan terlupa matlamat pekerjaan yang mula-mula diceburi berdasarkan pengajian selama beberapa tahun.

Terlupa? Mungkin...kerana, atas inginkan kebahagiaan diri, sesuatu telah dikorbankan...

Contohnya..pasti anda telah mendengar kisah-kisah kejayaan cikgu yang berhenti daripada menjadi guru dan menjadi kaya setelah menyertai MLM. Tidak dinafikan bahawa dia telah berjaya..untuk dirinya sendiri sudah tentu. Akan tetapi, suatu lompong yang mungkin tidak dapat ditutup oleh orang lain iaitu pendidikan anak bangsanya sendiri. Apakah mungkin si guru ini yang sudah kaya akan kembali mengajar selepas itu? Mengajar? Ya, mungkin...isi kandungannya? Bagaimana?

Secara mudah, orang akan berkata (sebagaimana lazimnya) "alah, ada je orang lain boleh ganti..bukan ke ramai yang menganggur?". Soalan saya..sudikah anak-anak anda diajar oleh orang yang kurang ilmunya? Sudikah anda menghantar anak-anak ke sekolah yang mungkin guru-gurunya tidak sebagus anda dahulu? (Soalan ini sekadar sarkastik yang bukan bermaksud guru-guru yang ada sekarang tidak bagus, tetapi untuk difikirkan bersama)

Apa yang ternukil bukan dari sudut yang negatif. Setiap satu dari kita punya matlamat dan tanggungjawab. Dan pastinya, tanggungjawab itu perlu dipenuhi demi kesejahteraan bersama....

Kerana, dalam ada yang bersuka...ada yang berduka...

Sekapur Sirih

Blog ini sekadar luahan cetusan pendapat yang terhasil daripada hamba Allah yang tidak seberapa ini. Ideanya mungkin jatuh dalam kategori sampah, dan mungkin juga tidak tercapai dek akal. Apapun, ianya sekadar cetusan idea dari penulis picisan yang cuma mengharap nukilannya memberi faedah kepada si pembacanya....

"al-razi959" diambil dari era remaja yang personalitinya dibentuk. Dikelilingi pelajar-pelajar yang otaknya bergeliga tetapi tidak bagus untuk dijadikan batu cincin (sebab otak diguna untuk berfikir dan berfungsi untuk tubuh badan, bukan untuk dijadikan batu cincin, betul?). Diri ini pada masa itu hanyalah watak picisan dikalangan "scorer" tetapi menjadi antara punca kelas pertama tidak menjadi kelas pertama...

Itu dahulu...

Kini masing-masing punya agenda, hala tuju dan arah sendiri...dan yang pastinya, dengan cara yang tersendiri...Tidak kira samada al-razi, sina, tabari, hurairah, khaldun dari batch 959, mahupun bukan dari kalangan SDARians , asalkan kita berpijak di bumi & menjunjung langit-Nya, seharusnya ilmu di dada harus dipergunakan untuk kebaikan bersama...