Jumaat, Mei 16, 2008

SeDARkah kita? (bab 2)

Dalam beberapa hari ini, saya lebih aktif membaca blog-blog nukilan orang lain, terutama sekali blog Tun Dr Mahathir. Yang menarik lebih bagi saya dalam blog Tun bukan artikelnya, tetapi komen-komen yang diterimanya.

Sebagaimana lumrah, bila satu individu melakukan apa jua sesuatu, pasti akan ada suara sumbang. Dan pastinya untuk keadaan ini, saya teringat kisah Luqman Hakim dengan anaknya berjalan bersama seekor tunggangan. Luqman naik tunggangan anak berjalan disisi orang kata Luqman tak kasihan anaknya; anaknya naik tunggangan Luqman berjalan, orang kata anak tiada hati budi; keduanya naik tunggangan orang kata seksa binatang itu; keduanya tak naik orang kata bodoh tak naik tunggangan..

Komen-komen yang diterima ada yang positif dan ada yang tidak. Tetapi ada antara komen dan ada "ekor-ekor"nya di blog lain yang mempersoalkan isu Melayu. Menarik dan kalau salah cara, agaknya ada tarikh dalam bulan Mei yang menjadi sejarah selain Peristiwa 13 Mei..

Nukilan bab 1 lebih kepada apakah kita sedar ada antara kita (untuk saya ramai, tetapi, tidak adil kepada yang tidak) sudah menjadikan duit sebagai matlamat utama (untuk yang agamanya Islam lagilah sedih). Di akhir blog, saya berikan cara yang saya fikirkan boleh difikirkan untuk digunapakai. .

Namun, terlintas difikiran...jika ditanya soal sejarah, rasanya ramai yang tahu menjawabnya...bila Melaka mencapai kegemilangannya, kronologi tamadun-tamadun manusia dan sebagainya...akan tetapi apakah ada penghayatannya?.

Dalam bab 1 buku sejarah tingakatan satu KBSM ada menghuraikan secara am tentang kepentingan kita mempelajari sejarah. Mungkin ramai yang tidak ambil kisah sebab boleh dijawab secara logik akal...tetapi apakah pengajarannya kita ambil? Adakah kita menghayatinya?.

Dalam nukilan bab 1 SeDARkah kita, ada yang memberi komen tentang sumbangan usahawan/swasta. Saya tidak menafikan perlunya usahawan-usahawan, dan contoh yang diberi orang yang bekerja dengan usahawan tersebut (kira makan gaji juga tu). Sebagaimana komennya saya fikirkan dan ulaskan, memperlihatkan pentingnya sumbangan segenap sudut - dari bawah ke atas, atas ke bawah dan sebagainya. Usahawan, tanpa sokongan pekerjanya, seumpama institusi lain yang juga perlukan sokongan dari bawah. Seumpama rumah, tanpa tiang, robohlah ia; tanpa dinding, bukan namanya rumah tetapi tempat berteduh; tanpa bumbung, rumah tak siap; bumbung ada, dinding ada, pintu tingkap tiada..(saya tak tahu apa namanya..tetapi yang pasti, bukan rumah...). Setiap satu bahagian itu ada peranan dan tanggunjawabnya...dan kita juga, sebagai hambaNya pastinya lagi lebih dari sekadar rumah..

Saya sedar, ada yang mengatakan, usahawan kini boleh membuat duit dari rumah. Secara fizikalnya, saya tidak nafikan..tetapi jika kita perhatikan betul-betul..benarkah?.

Contoh mudah, kaya melalui internet. Ramai yang berjaya, tetapi fikirkan...jika tiada orang yang menjaga "network", tiada orang yang menjaga sistem (baik perbankan internet mahupun pengurusan transaksi anda), apakah mungkin urusan niaga anda berjaya? Itu baru segi urusan..bagaimana dengan yang menjaga akaun anda? Yang menjaga pelaburan anda di kaunter pelaburan? Adakah sesiapa sahaja boleh menjaga akaun anda? Apakah anda boleh buat semua sendiri?.

Soalan mudah...sebagai contoh, kita pandang orang yang menggelapkan duit sebagai penjenayah dan pecah amanah...dari mana datangnya perkataan "pecah amanah"? Siapa yang memberi amanah itu? Kenapa harus dia memikul amanah itu? Agaknya JIKA dia memikul amanah dan tanggunjawab itu, mungkinkah pecah amanah akan berlaku?.

Sebenarnya, soalan-soalan boleh diutarakan dengan pelbagai cara dan maksud, bergantung kepada pandangan dan persepsi si penanya. Tepuk dada, tanya diri..apakah anda mahu dunia yang kacau bilau atau harmoni? Apakah sumbangan anda terhadap pilihan anda?.

Wallahualam...

Khamis, Mei 08, 2008

SeDARkah kita? (bab 1)

"Pada masa ini, ahli politik lebih berminat dengan apa yang mereka dapat, bukannya berkhidmat kepada negara. Mereka yang merasa tidak dapat apa yang diinginkan pasti sukar menahan godaan untuk melompat parti apabila ditawarkan sesuatu." - Tun Dr. Mahathir, Berita Harian, 8 Mei 2008..

Apa mungkin benarkah ia? Atau bukan hanya ahli politik, tetapi juga ianya berlaku antara kita?
Semalam saya berpeluang untuk membaca blog Tun (http://www.chedet.com/) dan juga komen-komen dari pembaca blog yang sudi menukilkan pendapat mereka (tidak untuk saya kerana merasakan pendapat saya mungkin tidak terbaca oleh Tun). Ada yang positif, ada yang tidak...dan ada yang mungkin melampau agaknya sampai Tun 'delete' komen tersebut. (Tidak tersangka pula artikel "Krisis M (bukan Tun M) terbit pada hari yang sama Tun menulis bolgnya buat kali pertama).

Terasa bagaikan "dejavu" kerana tidak lama dahulu, saya menulis pasal makanan dan putaran duit dalam hidup yang mana tidak lama selepas itu Krisis makanan menjadi perhatian dunia. Kali ini saya sudah suarakan dalam "Kayakah anda bahagian 1 & 2" dan "2P" beberapa hari dahulu dan secara kebetulan, Tun mengeluarkan pendapatnya (mungkin skop berbeza, tetapi maksud masih sama)..

Apapun, saya tertarik dengan komen berbunyi "people of Malaysia should think not what the country can do for them, instead, they should think wat they can do for the country..". Isu ini antara yang cuba saya ketengahkan dan utarakan sebelum ini. Di mana nilai tanggungjawab dan amanah andai duit menjadi matlamat. Sekali lagi saya katakan, duit penting, tetapi jangan jadikan ia sesuatu yang "absolute". Manusia takkan pernah puas dengan apa yang dia ada. Itu yang boleh jadi diberi betis nak peha..(cuma saya tak tahu nak gambarkan selepas dapat peha nak apa pula). Bukankah elok jika kita ikut kata pepatah, "makan sebelum lapar, berhenti sebelum kenyang"?.

Semalam juga saya ada berbincang dengan seorang sahabat tentang bagaimana nak memberi kesedaran kepada orang yang semacam ini (semacam ini dalam konteks duit dan ganjaran amat penting dalam hidup ini). Agak sukar untuk saya menganjurkan satu cara yang boleh menyedarkan orang sebegini kerana kesedaran datang daripada dalam diri seseorang itu. Ianya boleh dilakukan andai terbuka pintu hati untuk sedar. Guru SDAR pun belum tentu boleh sedarkan budak SDAR..

Pada pendapat saya, memang ada banyak cara. Bagi saya, cukuplah dengan buku teks sejarah tingkatan 1 sampai 3. Perhatikan muncul, naik dan jatuh sesuatu kerajaan. Hayati bagaimana kerajaan melayu Melaka yang gemilang jatuh di tangan Portugis. Kerajaan Melaka bukan tumbang kerana tidak kuat pertahanannya, tetapi kerana ada orang dari dalam yang membantu Portugis masuk. Bila Portugis dapat mendarat, sememangnyalah kekuatan teknologi Melaka nak lawan Portugis zaman itu tidak tertanding.
Apakah kita mahu Malaysia jatuh sepertinya Melaka?

Sabtu, Mei 03, 2008

2P - Persepsi & Perspektif

Termanggu seketika memikirkan komen-komen yang diterima (on & offline). Ada yang membina, dan ada juga yang agak kurang.

Blog ini ditulis kerana cuba mengutarakan pandangan dari satu sudut, yang cuba kita fikirkan apakah kita secara keseluruhannya membantu membina masyarakat yang seimbang kemajuannya dari segenap segi. Kita pasti tidak mahu kemajuan material yang dicapai tidak terkejar oleh pembinaan sahsiah (untuk Islam sudah tentu iman dan taqwa). Lebih terasa terduduk mendengar sebahagian doa khatib dalam khutbah kedua Jumaat menyebut "semoga generasi muda tidak terpesong jalan" (atau yang lebih kurang begitulah maksudnya sebab semacam terkejut dengar pada masa itu). Kalau ok lah sangat generasi sekarang, masakan doa ini diselit dalam khutbah jumaat. Kenapa?

Artikel-artikel yang terbit sebelum ini berkisar kepada persepsi dan perspektif saya. Sesungguhnya saya tidak melarang orang berniaga mahupun kerja di luar negara. Keduanya tidak salah baik undang-undang islam atau negara. Kepada yang berjaya, tahniah diucapkan dan teruskan usaha anda. Yang saya cuba utarakan lebih kepada soal tanggungjawab. Contoh, guru BERHENTI menjadi guru sebab berniaga dengan menggunakan alasan Rasulullah menggalakkan perniagaan (atau apa jua alasan lain..oh ya, sunnah lain ikut tidak?). Atau, orang bekerja dalam kerjaya yang kritikal jumlahnya di Malaysia, berhenti kerja sini untuk kerja di luar negara kerana tawaran berganda-ganda (yang memang dihantar ke sana tidak termasuk dalam situasi ini).

Ya, itu hak individu untuk menentukan apa yang ingin dilakukannya. Rezeki berada di mana - mana. Selagi ianya di bumi Allah dan halal, teruskan. Tiada siapa dapat menghalang. Cuma beberapa soalan yang harus kita fikirkan. Adakah tindakan yang kita ambil menyumbang kepada kepada pembangunan diri dan masyarakat? Apakah kita menghargai sumbangan orang lain? Cuba kita renungkan...

Antaranya...

KLCC yang tersergam indah yang dibangga-banggakan, apakah 100% usaha orang Malaysia? Memang ada orang kita, tetapi berapa ramai? Teknologinya, adakah daripada orang kita? Tenaga buruhnya, orang kitakah? Bayaran untuk projek ini, adakah 100% mengalir dalam negara kita (untuk kitaran pertama)?

Keduanya, tidak lama dahulu keluar artikel kurangnya doktor di Malaysia. Bukan kerana tidak ramai yang mengambil jurusan kedoktoran, ada, tetapi tidak mencukupi untuk masyarakat Malaysia. Kalau betul cukup, takkanlah kadar jam "on-call" di Malaysia lebih tinggi dari Ireland?

Ketiga (sebelum saya mengakhiri nukilan kali ini), fikirkan senario pendidikan di negara kita dan hasilnya. Keputusan peperiksaan memang menunjukkan kadar peningkatan mengikut statistik Kementerian setiap tahun (lebih kurang). Akademik? Mungkin berjaya...sahsiah? Perhatikan berapa ramai yang terlibat dalam dadah, pecah amanah, dan jenayah-jenayah yang lain. Ini baru kadar jenayah yang setiap tahun pasti beribu (yang dilaporkan..yang tidak?). Bagaimana dengan cara hidup? Yang agamanya ISLAM, islam kah? Di bulan puasa sebagai contoh, berapa ramai yang tidak berpuasa (ditangkap atau tidak tetapi yang betul-betul uzur dikecualikan)? Ini belum mengambil kira seks bebas dan minum arak. Islamkah? Berjayakah mereka sebagai muslim?

Yang berminat untuk muhasabah diri, silakan...kita sama-sama cuba nilaikan buruk & baik. Kalau nak fikir yang positif, fikirlah tetapi jangan lupa yang negatif. Cuba kurangkan yang negatif...

Wallahualam...

Khamis, Mei 01, 2008

Krisis M (bukan Tun M)

Sejurus mendarat di lapangan terbang Changi, terdetik hati membuka blog, dan agak terkejut dengan adanya ulasan. Terima kasih kerana membaca dan memberi komen di blog yang tidak seberapa ini.

Tidak lama dahulu, saya bagi analogi tikus belanda (dan roti canai), dan tidak tersangka, krisis M - Makanan melanda dunia pula. Pertubuhan Bangsa-bangsa bersatu dan negara-negara maju mula terasa akan bahang kenaikan harga makanan. Pelbagai ulasan, pendangan, pendapat dan juga kaedah-kaedah penyelesaian diutarakan oleh pelbagai pihak. Saya tidak pasti sejak bila ia bermula, tetapi saya mula tahu semasa menonton BBC semasa di Madinah al-munawarah dan isu ini disiarkan setiap hari.

Dari Jeddah ke Singapura, Financial Times pun terselit mengenai isu ini. Pakar menganjurkan untuk mengatasi krisis ini:- samada demi kemanusiaan? perdagangan dan perubahan polisi? atau pelan jangka panjang untuk "production". Jika tidak tersalah dengar, ada komen yang mengatakan, dana ada, tetapi tiada guna kerana makanan tidak mencukupi.


Betul juga...kalau duit ada, makanan tiada..Tanaman mengambil masa untuk tumbuh segar, haiwan juga perlu masa untuk tumbuh membesar...sementara tu, nak makan apa ya? Makan duit agaknya?

Sentuh tentang Financial Times..hati ini terasa "geli hati" kerana tidak jauh daripada segmen tentang krisis makanan, Shell dan BHP mencatat keuntungan berbilion dalam suku pertama....geli hati kerana dalam krisis harga minyak, ada yang buat keuntungan di atas kesengsaraan (sebenarnya "kesengsaraan" ni macam terlalu teruk, tapi tiada terilham perkataan yang lebih sesuai).

Komentar dari tanpa nama -"Duit bukanlah adalah segala-galanya..Tetapi segalaa-galanya adalah duit." Suatu frasa yang memberi pelbagai tafsiran andai duit menjadi ukuran. Andai maruah diri, agama, bangsa dan negara pun boleh diukur dengan duit, saya tak tahu. Dan jika itu menjadi tafsirannya, maka tidak hairan di arena sukan Malaysia kurang menyerlah. Andai duit menjadi ukuran, saya pasti ganjaran yang sepatutnya diterima pahlawan-pahlawan melayu (apatah lagi pahlawan-pahlawan muslimin yang syahid) patut tidak termampu sesiapa memberinya. Dan yang pasti, andai segala-galanya adalah duit, apakah ganjaran bagi ibu yang melahirkan kita didunia ini? Apakah ganjaran ibu bapa yang menjaga kita sejak kecil (bagi yang bertanggungjawab)? Dan apakah kita kurang nilainya jika ibu kita bertarung nyawa melahirkan kita tidak di hospital pakar?

Saya tidak nafikan, duit salah satu keperluan, tetapi bukan sesuatu yang "absolute". Keseimbangan dan kesedaran perlu dalam hidup ini.

Mungkin kerana saya baru kembali dari tanah suci, kisah Perang Uhud memberi seribu pengertian buat saya...dan harapnya buat orang lain... perang dimana pada awalnya tentera islam hampir mencapai kemenangan, tetapi, kerana tentera pemanah ingin rebutkan rampasan harta perang dan tidak menuruti perintah Rasulullah s.a.w agar tidak meninggalkan posisi pertahanan, 70 orang tentera islam syahid termasuk Saidina Hamzah r.a.

Kisah ini pada saya boleh dianalogikan dalam hidup ini. Andai duit menjadi ukuran dan tumpuan, maka kesedaran dan tanggungjawab tiada erti. Setiap kita punya tanggungjawab dan amanah. Andai petani tidak bercucuk tanam dan ternakan tidak dilakukan, kita nak makan apa..andai guru tidak mengajar, cerdik pandaikah kita?

Sesungguhnya, apa yang ternukil di sini sekadar pandangan saya. Apa yang baik itu daripada Allah, dan apa yang kurang elok itu adalah disebabkan oleh diri saya sendiri.

Wallahualam

p/s: terfikir sejenak...kalau tidak salah, memang berniaga sunnah Rasulullah...tetapi, ikutkah kita sunnah-sunnahnya yang lain? Atau cuma sunnah yang bagus ikut, yang tak beri manfaat pada diri (terpulang kepada individu) tak payah buat? (Teringat cerita lawak, sunnah kahwin empat...tetapi "part" kahwin ikutla...yang bab nafkah, layanan etc, wallahualam...hehehe)