Isnin, Ogos 25, 2008

AEM - Artikel Edisi Merdeka


Bulan Jun 2008 yang lalu, saya menulis AUM - Artikel Untuk Melayu (http://al-razi959.blogspot.com/2008/06/aum-artikel-untuk-melayu.html). Tika itu, harapan saya agar kita tidak terus kalut dengan situasi semasa bermula daripada 'ribut' PRU12.


Dengan hanya beberapa hari lagi Malaysia menyambut tarikh keramat Persekutuan Tanah Melayu mencapai Kemerdekaan yang ke-51, tidak dapat tidak, kita harus akui, sambutan kali ini suram. Bukan kerana tiada yang mengingatinya, cuma perhatian dan tumpuan 'ramai' terarah kepada suramnya ekonomi negara, maraknya harga minyak yang secara tidak lansung menjulangkan harga-harga jualan peniaga, krisis kepimpinan dan pergelutan kuasa politik negara.

Saya menulis pada petang sebelum pengundi pertama di Permatang Pauh keluar mengundi dengan di kepala terbayang seribu satu kemungkinan dan persoalan. Menang kalah, adat pertandingan, namun 'pertandingan' esok membawa arah tuju ke mana dan di mana pemimpin dan rakyat Malaysia.

Saya tidak mahu menjadi salah seorang jurutilik politik, mahupun pengulas politik. Walauapa jua yang tersurat esok, saya harapkan membawa perubahan yang baik kepada semua.

Rakyat Malaysia telah menyaksikan betapa goyah dan kalutnya negara sejak berakhirnya PRU12. Mesej yang cuba disampaikan bagaikan tidak tercapai. Dengan barisan pemimpin BN melaungkan keteguhan parti dan sokongan (dikala pelbagai bantahan dan perhimpunan yang kurang 'enak' diadakan), kem Pakatan rakyat pula gegak gempita dengan tarikh 16 September (disertakan ideologi negara Islam, ala-ala Malaysian Malaysia, dan..er, hasrat Perdana Menteri yang menunggu).

Andai inilah pengisian dan pengertian kemerdekaan, maaf saya katakan, sedih dan kecewa dengan kepimpinan kedua pakatan berbalah. Bukan reformasi parti politik dan kerajaan yang diperlukan, tetapi reformasi minda dan sikap para pemimpin dan rakyat yang sebenarnya yang dicari. Benarlah yang ternukil melalui puisi Tun Dr Mahathir:-

"Tugas kita bukan kecil
kerana mengisi kemerdekaan
rupanya lebih sukar dari bermandi
keringat dan darah menuntutnya...

Lagi pula apalah ertinya kemerdekaan
kalau bangsaku asyik mengia dan menidakkan,
mengangguk dan membenarkan,
kerana sekalipun bangganya negara
kerana makmur dan mewahnya,
bangsaku masih melata
dan meminta-minta di negaranya sendiri ..."

Apakah pengertian kemerdekaan andai antara kita terus berbalah merebut kekayaan dikala ada antara kita makan sesuap nasi pun belum tentu? Apakah ertinya laungan merdeka itu andai ada diri menggilai kuasa dikala antara kita kebajikannya belum terjamin? Apa pula erti merdeka kepada generasi muda yang sudah runtuh akhlaknya, kalah sebelum berjuang? Apakah cukup sekadar berhimpun dikawasan lapang, melaungkan merdeka pada tepat jam 12 tengah malam? Beginikah pengisian dan penghayatan kemerdekaan?

Sesungguhnya perjuangan kita belum selesai...,bukan, tidak akan selesai selagi hayat dikandung badan. Selagi antara kita masih tersungkur, yang miskin pendidikan, fakir maruahnya, tegar kebodohannya dan compang camping sahsiahnya, selagi itulah kita tidak harus berhenti berjuang untuk memartabatkan agama, bangsa dan negara.

"Hari ini, jalan ini pasti semakin berliku
kerana masa depan belum tentu
menjanjikan syurga
bagi mereka yang lemah dan mudah kecewa

Perjuangan kita belum selesai
kerana hanya yang cekal dan tabah
dapat membina mercu tanda
bangsanya yang berjaya... "

Merdekakah kita?

Jumaat, Ogos 22, 2008

Antara tertib ibadat dan sivik


Ini adalah artikel yang diambil daripada http://www.zaharuddin.net/ yang saya terima melalui mesej yang di'forward'kan kepada saya oleh seorang rakan. Pengisian dan hujahnya memang saya setuju yang amat, kerana inilah juga yang saya pelajari ketika menghadiri majlis usrah ketika tingkatan 1 dan 2 dahulu. Sila baca, hayati dan fikirkan...di akhir artikel ini, ada sedikit ulasan daripada saya untuk kita fikirkan bersama...

Amat menaikkan darah apabila sedang solat tiba-tiba ada orang melintas di depan kita. Jahilkah si dia ?. Biadap sungguh. Agak kerap berlaku, ketika kita menunaikan solat sunat selepas Jumaat, manusia-manusia biadap ini dengan selambanya melintas tanpa ambil kisah kita sedang menunaikan solat.

Amat perlu kita semua menasihatkan diri dan semua yang dikenali agar menjauhi sikap melintas di hadapan orang solat, terutamanya bagi mereka yang amat prihatin dalma hal solat. Salah satu tanda keperihatinan seseorang itu dengan solatnya adalah apabila ia meletakkan ‘penghadang' khusus di depannya ketika solat sunat seorang diri.

Tegahan melintas di hadapn orang solat ini disebut dalam dua hadis ini, sabda Nabi s.a.w :-

لو يَعْلَمُ الْمَارُّ بين يَدَيْ الْمُصَلِّي مَاذَا عليه لَكَانَ أَنْ يَقِفَ أَرْبَعِينَ خَيْرًا له من أَنْ يَمُرَّ بين يَدَيْهِ قال أبو النَّضْرِ لَا أَدْرِي أَقَالَ أَرْبَعِينَ يَوْمًا أو شَهْرًا أو سَنَةً

Ertinya : Sekiranya seorang yang melalui di hdapan orang yang sedang bersolat ini mengetahui apa jenis dosanya (lalu di hadapan orang solat) nescaya untuk berhenti menunggu empat puluh lebih baik dari lalu di hadapan orang solat ini, berkata perwai : aku tidak tahu samada Nabi menyebut EMPAT PULUH hari atau bulan atau tahun" ( Riwayat Al-Bukhari)
[1]

Dan sebuah lagi hadis menunjukkan besarnya dosa lalu dihadapan orang solat :-

إذا صلى أحدكم إلى شَيْءٍ يَسْتُرُهُ من الناس فَأَرَادَ أَحَدٌ أَنْ يَجْتَازَ بين يَدَيْهِ فَلْيَدْفَعْهُ فَإِنْ أَبَى فَلْيُقَاتِلْهُ فَإِنَّمَا هو شَيْطَانٌ
Ertinya : Apabila seorang kamu sedang solat dan mempunyai sutrah menghalangnya, dan jika tiba-tiba ada orang yang ingin mencerobohi hadapannya maka hendaklah ingin menegahnya, jika ia (yang ingin menyeberang) enggan berhenti, hendaklah kamu bersungguh menghalangnya kerana ia adalah Syaitan" ( Riwayat Al-Bukhari) [2]

Jelas dari dalil-dalil ini, sangat perlu untuk kita meletakkan sutrah (penghadang) agar tiada individu yang mendapat dosa kerana melalui di hadapan kita selain merosakkan solat kita. Selain itu, amat perlu juga kita menahan sekiranya terdapat individu ingin melintas sewaktu kita menunaikan solat.

Ada yang bertanya kepada saya, mengapakah dosa melintas ini kelihatan terlalu besar?.

Jawabnya mudah.

Anggaplah apabila anda melintas di hadapan orang yang solat, individu tersebut telah menunjukkan kebiadapannya terhadap Allah s.w.t, tiada hormat kepada Allah yang sedang berhadap kepada orang yang solat. Keadaan ini jelas dari sabdaan baginda nabi s.a.w :-

فإذا صَلَّيْتُم فَلا تَلتَفِتُوا , فإنّ اللهَ يَنْصِبُ وَجْهُه لِوَجْهِ عَبْدِهِ فِي
صَلاتِهِ مَا لمْ يَلتَفِتْ
Ertinya : "Apabila kamu solat, janganlahkamu menoleh (ke sana sini yakni tidak fokuskan pandangan), kerana Allah SWT mengarahkan wajahNya ke wajah hambanya yang sedang bersolat selagi mana hambanya tidak menoleh ke lain" ( Al-Bukhari dan Abu Daud) [3]

Jelas, individu yang lalu TANPA HORMAT kepada Allah dan orang yang bersolat melintas. Secara langsung juga, individu itu juga biadap kepada orang yang sedang solat.

Kesimpulannya, jauhilah sifat buruk dan dosa ini. Adapun ketika di Mekah yang terlalu ramai manusianya yang pelbagai ragam dan sikap, mungkin ada keringanan sedikit disebabkan keadaan yang tidak amat sukar dikawal, namun demikian saya yakin keadaan tersbeut boleh dikawal di Malaysia. Jangan jadikan diri sebahgaian dari kumpulan biadap ini.

Sekian


Artikel ilmiah ini sememangnya perlu untuk kita fikirkan apakah kita antara sedar atau tidak melakukannya secara tidak sengaja. Cuma, terkadang terlihat antara kita yang niatnya memang baik, iaitu menunaikan solat, tetapi, tidak di tempat yang 'sepatutnya'. 'Tidak sepatutnya' yang saya maksudkan disini ialah, dikala orang ramai berpusu keluar dari masjid untuk kembali kepada urusan seharian, ada juga sebatang dua tubuh tegak berdiri menunaikan solat sunat di tempat orang yang berasak hendak keluar, seolah-olah tiada tempat lain untuk bersolat. Ada juga kalanya kita dapat lihat orang yang bersolat di tempat orang keluar masuk pintu masjid atau di laluan 'utama'.

Tergaru kepala yang tidak gatal ini memerhatikan situasi-situasi sebegini. Bersolat, amatlah baik. Cuma hairan, dimanakah letaknya akal untuk berfikir. Sebagaimana yang ditulis oleh Ustaz Zaharuddin, kalau di kota suci Mekah, tiadalah hairannya kerana Masjidil Haram senantiasa penuh dengan manusia yang pelbagai ragam dan gaya. Akan tetapi, jika setakat di masjid-masjid yang ruangnya luas tidak terisi, adalah lebih baik ditunaikan solat di tempat yang lebih sesuai. Janganlah dilakukan ditempat orang berlalu lalang. Bukan sahaja kebarangkalian solat yang ditunaikan tidak kusyuk, malah mendatangkan keadaan tidak selesa kepada baik hamba Allah yang sedang menunaikan solat mahupun yang sedang berjalan keluar dari masjid.

Saya harapkan nukilan ini sedikit sebanyak membuatkan kita semua termasuk diri saya untuk beringat dan berfikir. Dalam kita melakukan amal, apakah betul caranya kita itu.

Wallahualam...

Khamis, Ogos 21, 2008

Mata Melihat, Telinga Mendengar...Otak?


Melihatkan kepada tajuk nukilan kali ini, pastinya ramai akan mengatakan otak digunakan untuk berfikir. Persoalannya, apakah kita betul-betul menggunakan otak untuk berfikir dan menilai sesuatu perkara atau perbuatan?

Ada dikalangan rakan-rakan saya yang berkesempatan membaca blog saya mengatakan nukilan-nukilan saya mengenai politik dan ekonomi. Mungkin ya, mungkin tidak. Apakah penilaian anda?

Sebenarnya, penulisan saya cuba menyentuh isu semasa dan hubungkaitnya dengan pemikiran dan sifat-sifat kita. Kerapkali kita (termasuk saya) mudah membuat kesimpulan tanpa berfikir sedalamnya. Ada juga terkadang, untaian kata yang ditutur dan dinukil, tidak dapat menyampaikan mesej yang tersirat. Ada juga kalanya mesej yang disampaikan disalah tafsir oleh penerima mesej. Dalam bahasa inggerisnya keadaan ini disebut sebagai - "miscommunication".

Sebagai contoh, semalam, sewaktu makan tengahari bersama rakan-rakan, rakan saya mengatakan saya ini orang UMNO. Sebabnya? Hanya kerana saya menyertai Kelab UMNO semasa menuntut di Dublin, Ireland 4,5 tahun dahulu. Mungkin kerana sedang hangatnya isu topik politik semasa, rakan saya ini (yang mengaku menyokong PAS), menghentam saya seolah-olah saya orang kuat UMNO. Adilkah?

Bagi yang mengetahui latar belakang saya dan mengenali saya semasa saya menuntut di Dublin, pastinya tahu bagaimana orangnya saya ini. Berpolitik untuk kuasa bukan bidang saya. Budi atau 'budi' (bergantung kepada tafsiran masing-masing yang mengenali saya) yang ditabur untuk pelajar Malaysia di Dublin, biarlah mereka yang di sana menilainya. Walauapapun, bekerjasama dalam aktiviti-aktiviti untuk Kelab UMNO Ireland (kini Kelab UMNO Dublin), PPIMI (Persatuan Pelajar Islam Malaysia Ireland) dan MSA (Malaysian Student Association) menjadi antara pengalaman yang berharga dan berdasarkan pengalaman yang tidak seberapa itulah, saya percaya, baik UMNO, PAS, PKR atau mana-mana parti politik, jika pemimpin dan ahlinya telus, tulus dan ikhlas, insyaAllah, kita akan dapat jadikan hidup ini lebih baik dan bermakna.

Berbalik kepada situasi yang diberikan, rakan saya ini menilai apa yang dia 'percaya' dan bertindak berdasarkan penilaiannya. Otaknya menilai hujah-hujah yang diberikan adalah 'betul' berdasarkan apa yang dia 'fikirkan betul'. Seorang lagi rakan saya sekadar berbincang dan bersoal jawab (kerana rakan saya yang awal tadi nampak begitu yakin). Saya yang sekadar sekali sekala mencelah, melihat dan mendengar dan juga menilai berdasarkan kemampuan saya tentang bual bicara dikala makan tengahari dan lenggok badan rakan-rakan saya.

Saya pasti, ramai yang pernah melalui situasi tersebut. Perbincangan, perbualan menjadi sihat JIKA setiap pihak yang terlibat bertoleransi dan terbuka mindanya. Oh ya, dan masih relevan dalam topik yang diperbincangkan. Sebaik terkeluar topik, tidak bertoleransi dan tidak terbuka minda, pasti, perbualan dan perbincangan menjadi medan debat, pidato dan mungkin pertelingkahan.

Saya fikir, situasi makan tengahari saya itulah situasi yang amat biasa kini. Baik di peringkat pemimpin, pengikut dan rakyat. Kerana itu, tidak hairan, dalam perbincangan atau perbualan, pertelingkahan kerap berlaku kerana ada yang terkena "Sindrom Blok" yang meracuni kotak pemikiran. Sindrom yang merangkumi ketaksuban, ketidakterbukaan, dan mungkin juga kekurangan ilmu (secara kasarnya kejahilan, tetapi tidak sesuai kerana saya pasti, semua punya tahap ilmu yang berbeza).

Situasi makan tengahari juga terkadangkala berlaku juga di waktu kerja, di rumah, bersama rakan-rakan dan sebagainya. Kita tidak dapat tidak lari dari tersalah tafsir. Walau apapun, saya mengharapkan kita, selaku insan, ada kala tersilap bicara, tersalah susun tutur kata, gunakanlah akal anugerah Tuhan ini untuk kebaikan bersama.

Wallahualam...

"Gunakalah akal yang rasional untuk berfikir, yang bukan disertakan emosi dan nafsu"

Isnin, Ogos 18, 2008

Mahasiswa kita..benarkah sudah bersedia?


"KUALA LUMPUR: Kira-kira 100 mahasiswa institusi pengajian tinggi dari seluruh negara mengadakan perhimpunan aman di hadapan pintu masuk Parlimen di sini bagi mendesak supaya Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) dihapuskan dan bukannya setakat dipinda. Kumpulan pelajar yang bergelar Gerakan Mahasiswa Mansuhkan AUKU (GMMA) itu memakai pakaian serba hitam berarak menuju ke hadapan pintu masuk Parlimen pada jam 9.15 pagi sambil membawa sepanduk yang antaranya tertulis "GMMA Bantah Pindaan Kosmetik AUKU". Koordinator GMMA, Ridzuan Muhamad, berkata pindaan akta itu hanya untuk memuaskan hati pihak tertentu tanpa memberi kebaikan kepada mahasiswa secara keseluruhan.

Perhimpunan itu berakhir selepas Ridzuan menyerahkan satu memorandum kepada Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Idris Haron di pekarangan bangunan Parlimen kira-kira sejam selepas itu. Idris pula berkata pindaan AUKU akan dibahaskan oleh di Parlimen sedikit masa lagi, dengan mengambil kira juga pandangan mahasiswa. - Bernama "(menerusi artikel tersiar di halaman http://www.bharian.com.my/ pada 18 Ogos 2008)

Mengambil kira perkembangan yang agak mutakhir ini, diri ini tertanya, apakah benar mahasiswa kita benar-benar sudah bersedia?

"Bersedia" yang saya maksudkan disini adalah segala persiapan mental, fizikal, komitmen, tenaga, masa, sumber kewangan, dan apa jua yang diperlukan untuk seseorang itu mengharungi cabaran yang akan mendatang. Cabaran ini meliputi aspek-aspek kehidupan yang memerlukan "sedikit sebanyak" pengorbanan.

Tidak dinafikan, mahasiswa berpotensi dan mampu memberi idea-idea bernas dan juga mungkin mampu menjadi pemimpin politik. Akan tetapi, mungkin terlalu awal untuk seseorang mahasiswa atau mahasiswi itu untuk terlibat secara aktif.

Pertamanya, apakah modal seorang mahasiswa untuk bergiat secara aktif dalam politik? "Modal" di sini termasuklah dari segi kewangan, pencapaian dan kepercayaan masyarakat untuk mahasiswa ini untuk memimpin mereka. Jangan disalah tafsir bab "kewangan" kerana bukan maksud saya mahasiswa perlu mengamalkan politik wang, tetapi lebih kepada kos perbelanjaan asas untuk berpolitik. Dari manakah datangnya sumber kewangan untuk bergerak ke sana ke mari? Bagaimana pula dengan kos perjalanan untuk menyelesaikan masalah setempat? Kos telekomunikasi? Kalau ada yang biaya, siapa dan kenapa? Soalan-soalan ini perlu difikirkan kerana wang tidak selalu datang mudah tanpa ada habuan pulangan. (Kerana saya memikirkan amal sedakah jariah cukup susah untuk dikutip. Jika adapun, seperti meminta sedekah sahaja gayanya)

Keduanya, atas kredibiliti apakah mahasiswa itu mahu dinilai untuk berpolitik? Dengan keupayaan apakah kata-kata seseorang mahasiswa itu boleh dipegang untuk menjadikan masyarakat lebih baik? Andai ada anak seorang hartawan, saya pasti, bukan semua mahasiswa anak hartawan.

Ketiganya, persoalan paling penting untuk saya tahu (dan mungkin juga anda), kenapa perlu mahasiswa terlibat atau melibatkan diri secara aktif di arena politik? Apakah tujuan mahasiswa untuk bergiat aktif dalam politik? Membela nasib agama, bangsa dan negara? Murni niat itu, tetapi cukupkah ilmu didada? Jangan disalahtafsir darah muda yang mudah menggelegak, wahai mahasiswa. Dirimu berada di menara gading untuk menuntut ilmu, penuhkan ilmu didada, bukan menjadi gading yang menjadi perhiasan pentas politik, menjadi ratahan ahi politik yang lebih berpengalaman. Tamatkan 'perguruan'mu, barulah turun membantu membina masyarakat yang lebih baik. Jangan kerana situasi politik kita kalut, anda pun turut kalut. Jika anda turut kalut, saya pasti, andai anda terpilih menjadi pemimpin politik, kebarangkalian untuk cepat melatah pun agak tinggi. Dan sedihnya, bila pemimpin melatah, nasib rakyat menjadi galang gantinya.

Andai keadaan kini menjadi punca anda rasa anda "perlu mengamuk", biarlah 'amuk Jebat'mu kerana 'setianya Tuah' kepada agama, bangsa dan negara disulami 'bijaknya Tun Perak'. Perbetulkan masyarakat mahasiswamu agar kamu dan mereka dapat menjadikan negara ini lebih baik di hari mendatang.

Generasi muda negara ini masih TIDAK MERDEKA. Logiknya, majoriti mat rempit, bohsia, bohjan. dan pelbagai masalah sosial, bukannya datang dari golongan 40-an,50-an. Pernahkah anda melihat seorang atuk atau nenek membuat aksi 'superman' ketika naik motor? Pasti tidak sesuai lagaknya. Golongan Mahasiswa adalah pemimpin yang paling hampir dengan generasi muda untuk membantu. Jangan dikejar awan hujan yang tidak pasti turunnya, air ditempayan ditumpahkan. Berjuanglah dipentas yang sepatutnya atas nawaitu/niat yang betul dan seikhlasnya...

Wallahualam...

p/s: Terlintas juga difikiran, yang duk melaung meneriak, orang kita..apa kata mahasiswa bangsa-bangsa lain ye?

Sabtu, Ogos 16, 2008

Reformasi?

Berikut adalah komen yang saya tinggalkan buat blog http://nazirulhazim.blogspot.com/. Walaupun penulis ini seorang yang masih muda, tetapi mampu mengutarakan pandangan yang pada saya, mendahului umurnya. Komen yang saya berikan adalah berdasarkan artikel yang boleh dibaca dan difikirkan - http://nazirulhazim.blogspot.com/2008/08/pemimpin-malaysia-iii-reformasi.html

saudara,saya memahami apa yang saudara cuba sampaikan. Namun, lenggok bahasa saudara agak 'merisaukan' mesej yang cuba diutarakan.

Pertamanya, "Sejak dahulu lagi, pihak2 yg ingin mendapatkan 'lion's share' ini sentiasa mengintai peluang ketidakstabilan politik untuk menjayakan keinginan mereka.Melalui Komunis,PAP Singapura,DAP serpihan PAP,PAS,Sosialis, kini Keadilan.Kesempatan mereka timbul pada 13Mei 1969, Perpisahan dgn Singapura 1965,14 hari Bintang Tiga, Krisis UMNO 1987, Krisis Anwar 1998, kini Pilihanraya 2008.Mereka ini dianggap ekstremis oleh pemimpin terdahulu".

Dari peristiwa 13 Mei, Darurat, Krisis 1998 boleh dianggap faktor 'luaran' yang mengganggu gugat kestabilan negara. 'Luaran' bermaksud sesuatu yang bukan berpunca daripada 'diri sendiri'. Peristiwa pengharaman UMNO pula disebabkan oleh 'technicality' yang menjadikan pendaftaran UMNO perlu dibuat semula.

Namun, PRU12 bukan disebabkan faktor 'luaran'. Senario politik sekarang adalah lanjutan daripada 'permintaan' rakyat agar YB berkhidmat, bukan sekadar berhormat. Dengan era teknologi serba canggih, pastinya, sesuatu yang kurang menyenangkan sukar disorok daripada pengetahuan umum.

Ini membawa kepada kenyataan saudara yang turut menarik perhatian saya:"Jika dgn harga minyak yg berapa sen itu anda jadikan faktor utama menumbangkan kerajaan 50 tahun yg telah mengasaskan negara ini, ..."

Harga minyak bukan faktor utama, tetapi pencetus kepada hangatnya keadaan sekarang. Sebagaimana minyak membantu pembakaran, isu minyak membakar hati rakyat Malaysia. Tika rakyat diberitahu minyak tidak naik harga, tidak lama selepas itu naik tanpa 'diduga'.'Insiden' ini yang sebilangan kita mula tidak yakin dengan kerajaan yang sedia ada. Janji harga minyak turun sebaik harga pasaran minyak dunia turun, belum lagi terlaksana. Harga minyak dunia telah lama surut sejak kenaikan paling tinggi USD$147 per tong pada 11 Julai 2008 [16 Ogos 2008 - USD$113.77 (sumber - http://www.bloomberg.com/)].

Terakhir sekali - "Saya lebih rela hidup miskin tetapi bangsa dan agama saya terpelihara".
Amat mulia hasrat saudara, tetapi berhati-hati. Dengan saudara sedang menuntut di University of Bristol UK dalam Economics and Mathematics, pastinya mengundang keraguan dalam kenyataan saudara.

Walauapapun, saya hormati pandangan saudara yang ternukil.