Khamis, Ogos 21, 2008

Mata Melihat, Telinga Mendengar...Otak?


Melihatkan kepada tajuk nukilan kali ini, pastinya ramai akan mengatakan otak digunakan untuk berfikir. Persoalannya, apakah kita betul-betul menggunakan otak untuk berfikir dan menilai sesuatu perkara atau perbuatan?

Ada dikalangan rakan-rakan saya yang berkesempatan membaca blog saya mengatakan nukilan-nukilan saya mengenai politik dan ekonomi. Mungkin ya, mungkin tidak. Apakah penilaian anda?

Sebenarnya, penulisan saya cuba menyentuh isu semasa dan hubungkaitnya dengan pemikiran dan sifat-sifat kita. Kerapkali kita (termasuk saya) mudah membuat kesimpulan tanpa berfikir sedalamnya. Ada juga terkadang, untaian kata yang ditutur dan dinukil, tidak dapat menyampaikan mesej yang tersirat. Ada juga kalanya mesej yang disampaikan disalah tafsir oleh penerima mesej. Dalam bahasa inggerisnya keadaan ini disebut sebagai - "miscommunication".

Sebagai contoh, semalam, sewaktu makan tengahari bersama rakan-rakan, rakan saya mengatakan saya ini orang UMNO. Sebabnya? Hanya kerana saya menyertai Kelab UMNO semasa menuntut di Dublin, Ireland 4,5 tahun dahulu. Mungkin kerana sedang hangatnya isu topik politik semasa, rakan saya ini (yang mengaku menyokong PAS), menghentam saya seolah-olah saya orang kuat UMNO. Adilkah?

Bagi yang mengetahui latar belakang saya dan mengenali saya semasa saya menuntut di Dublin, pastinya tahu bagaimana orangnya saya ini. Berpolitik untuk kuasa bukan bidang saya. Budi atau 'budi' (bergantung kepada tafsiran masing-masing yang mengenali saya) yang ditabur untuk pelajar Malaysia di Dublin, biarlah mereka yang di sana menilainya. Walauapapun, bekerjasama dalam aktiviti-aktiviti untuk Kelab UMNO Ireland (kini Kelab UMNO Dublin), PPIMI (Persatuan Pelajar Islam Malaysia Ireland) dan MSA (Malaysian Student Association) menjadi antara pengalaman yang berharga dan berdasarkan pengalaman yang tidak seberapa itulah, saya percaya, baik UMNO, PAS, PKR atau mana-mana parti politik, jika pemimpin dan ahlinya telus, tulus dan ikhlas, insyaAllah, kita akan dapat jadikan hidup ini lebih baik dan bermakna.

Berbalik kepada situasi yang diberikan, rakan saya ini menilai apa yang dia 'percaya' dan bertindak berdasarkan penilaiannya. Otaknya menilai hujah-hujah yang diberikan adalah 'betul' berdasarkan apa yang dia 'fikirkan betul'. Seorang lagi rakan saya sekadar berbincang dan bersoal jawab (kerana rakan saya yang awal tadi nampak begitu yakin). Saya yang sekadar sekali sekala mencelah, melihat dan mendengar dan juga menilai berdasarkan kemampuan saya tentang bual bicara dikala makan tengahari dan lenggok badan rakan-rakan saya.

Saya pasti, ramai yang pernah melalui situasi tersebut. Perbincangan, perbualan menjadi sihat JIKA setiap pihak yang terlibat bertoleransi dan terbuka mindanya. Oh ya, dan masih relevan dalam topik yang diperbincangkan. Sebaik terkeluar topik, tidak bertoleransi dan tidak terbuka minda, pasti, perbualan dan perbincangan menjadi medan debat, pidato dan mungkin pertelingkahan.

Saya fikir, situasi makan tengahari saya itulah situasi yang amat biasa kini. Baik di peringkat pemimpin, pengikut dan rakyat. Kerana itu, tidak hairan, dalam perbincangan atau perbualan, pertelingkahan kerap berlaku kerana ada yang terkena "Sindrom Blok" yang meracuni kotak pemikiran. Sindrom yang merangkumi ketaksuban, ketidakterbukaan, dan mungkin juga kekurangan ilmu (secara kasarnya kejahilan, tetapi tidak sesuai kerana saya pasti, semua punya tahap ilmu yang berbeza).

Situasi makan tengahari juga terkadangkala berlaku juga di waktu kerja, di rumah, bersama rakan-rakan dan sebagainya. Kita tidak dapat tidak lari dari tersalah tafsir. Walau apapun, saya mengharapkan kita, selaku insan, ada kala tersilap bicara, tersalah susun tutur kata, gunakanlah akal anugerah Tuhan ini untuk kebaikan bersama.

Wallahualam...

"Gunakalah akal yang rasional untuk berfikir, yang bukan disertakan emosi dan nafsu"

Tiada ulasan: