Isnin, Ogos 18, 2008

Mahasiswa kita..benarkah sudah bersedia?


"KUALA LUMPUR: Kira-kira 100 mahasiswa institusi pengajian tinggi dari seluruh negara mengadakan perhimpunan aman di hadapan pintu masuk Parlimen di sini bagi mendesak supaya Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) dihapuskan dan bukannya setakat dipinda. Kumpulan pelajar yang bergelar Gerakan Mahasiswa Mansuhkan AUKU (GMMA) itu memakai pakaian serba hitam berarak menuju ke hadapan pintu masuk Parlimen pada jam 9.15 pagi sambil membawa sepanduk yang antaranya tertulis "GMMA Bantah Pindaan Kosmetik AUKU". Koordinator GMMA, Ridzuan Muhamad, berkata pindaan akta itu hanya untuk memuaskan hati pihak tertentu tanpa memberi kebaikan kepada mahasiswa secara keseluruhan.

Perhimpunan itu berakhir selepas Ridzuan menyerahkan satu memorandum kepada Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Idris Haron di pekarangan bangunan Parlimen kira-kira sejam selepas itu. Idris pula berkata pindaan AUKU akan dibahaskan oleh di Parlimen sedikit masa lagi, dengan mengambil kira juga pandangan mahasiswa. - Bernama "(menerusi artikel tersiar di halaman http://www.bharian.com.my/ pada 18 Ogos 2008)

Mengambil kira perkembangan yang agak mutakhir ini, diri ini tertanya, apakah benar mahasiswa kita benar-benar sudah bersedia?

"Bersedia" yang saya maksudkan disini adalah segala persiapan mental, fizikal, komitmen, tenaga, masa, sumber kewangan, dan apa jua yang diperlukan untuk seseorang itu mengharungi cabaran yang akan mendatang. Cabaran ini meliputi aspek-aspek kehidupan yang memerlukan "sedikit sebanyak" pengorbanan.

Tidak dinafikan, mahasiswa berpotensi dan mampu memberi idea-idea bernas dan juga mungkin mampu menjadi pemimpin politik. Akan tetapi, mungkin terlalu awal untuk seseorang mahasiswa atau mahasiswi itu untuk terlibat secara aktif.

Pertamanya, apakah modal seorang mahasiswa untuk bergiat secara aktif dalam politik? "Modal" di sini termasuklah dari segi kewangan, pencapaian dan kepercayaan masyarakat untuk mahasiswa ini untuk memimpin mereka. Jangan disalah tafsir bab "kewangan" kerana bukan maksud saya mahasiswa perlu mengamalkan politik wang, tetapi lebih kepada kos perbelanjaan asas untuk berpolitik. Dari manakah datangnya sumber kewangan untuk bergerak ke sana ke mari? Bagaimana pula dengan kos perjalanan untuk menyelesaikan masalah setempat? Kos telekomunikasi? Kalau ada yang biaya, siapa dan kenapa? Soalan-soalan ini perlu difikirkan kerana wang tidak selalu datang mudah tanpa ada habuan pulangan. (Kerana saya memikirkan amal sedakah jariah cukup susah untuk dikutip. Jika adapun, seperti meminta sedekah sahaja gayanya)

Keduanya, atas kredibiliti apakah mahasiswa itu mahu dinilai untuk berpolitik? Dengan keupayaan apakah kata-kata seseorang mahasiswa itu boleh dipegang untuk menjadikan masyarakat lebih baik? Andai ada anak seorang hartawan, saya pasti, bukan semua mahasiswa anak hartawan.

Ketiganya, persoalan paling penting untuk saya tahu (dan mungkin juga anda), kenapa perlu mahasiswa terlibat atau melibatkan diri secara aktif di arena politik? Apakah tujuan mahasiswa untuk bergiat aktif dalam politik? Membela nasib agama, bangsa dan negara? Murni niat itu, tetapi cukupkah ilmu didada? Jangan disalahtafsir darah muda yang mudah menggelegak, wahai mahasiswa. Dirimu berada di menara gading untuk menuntut ilmu, penuhkan ilmu didada, bukan menjadi gading yang menjadi perhiasan pentas politik, menjadi ratahan ahi politik yang lebih berpengalaman. Tamatkan 'perguruan'mu, barulah turun membantu membina masyarakat yang lebih baik. Jangan kerana situasi politik kita kalut, anda pun turut kalut. Jika anda turut kalut, saya pasti, andai anda terpilih menjadi pemimpin politik, kebarangkalian untuk cepat melatah pun agak tinggi. Dan sedihnya, bila pemimpin melatah, nasib rakyat menjadi galang gantinya.

Andai keadaan kini menjadi punca anda rasa anda "perlu mengamuk", biarlah 'amuk Jebat'mu kerana 'setianya Tuah' kepada agama, bangsa dan negara disulami 'bijaknya Tun Perak'. Perbetulkan masyarakat mahasiswamu agar kamu dan mereka dapat menjadikan negara ini lebih baik di hari mendatang.

Generasi muda negara ini masih TIDAK MERDEKA. Logiknya, majoriti mat rempit, bohsia, bohjan. dan pelbagai masalah sosial, bukannya datang dari golongan 40-an,50-an. Pernahkah anda melihat seorang atuk atau nenek membuat aksi 'superman' ketika naik motor? Pasti tidak sesuai lagaknya. Golongan Mahasiswa adalah pemimpin yang paling hampir dengan generasi muda untuk membantu. Jangan dikejar awan hujan yang tidak pasti turunnya, air ditempayan ditumpahkan. Berjuanglah dipentas yang sepatutnya atas nawaitu/niat yang betul dan seikhlasnya...

Wallahualam...

p/s: Terlintas juga difikiran, yang duk melaung meneriak, orang kita..apa kata mahasiswa bangsa-bangsa lain ye?

3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Betul...betul...
Kita tak mahu tengok suatu masa pelajar buat rusuhan kononnya atas nama kebebasan bersuara.

Bertindaklah secara tertib & profesional dalam menyuarakan pendirian diri.

Tanpa Nama berkata...

betul, saya amat menyokong pendapat encik. Sepatutnya mahasiswa lebih bergerak di dalam membantu masyarakat dan generasi yang lebih muda terlebih dahulu, penuhkan ilmu didada barulah turun ke medan peperangan. jangan BERLAGAK seperti orang yang cukup pengalaman dan menjatuhkan maruah dan imej orang melayu itu sendiri. Tunjukkan apa yang mampu dibuat oleh pelajar MELAYU di universiti dengan keputusan yang baik, jangan buat demonstrasi membela nasib, sedangkan pengajian dan taraf ilmu sama seperti orang yang tidak berpelajaran. sedarlah MAHASISWA MELAYU SEKALIAN.

al-razi959 berkata...

Terima kasih di atas komen saudara berdua. Sesungguhnya diri ini kecewa dengan mahasiswa yang 'tersalah guna' semangat yang membara itu. Ilmu yang sedikit dan pengalaman yang cetek yang disangka ampuh (agaknya kerana terpilih/dipilih oleh mahasiswa lain melalui pilihanraya kampus) mampu membawa mereka jauh dipersada politik.

Ataupun...apakah mereka juga seperti bercita-cita seperti Saiful? (Sila abaikan kes yang belum terbukti kesahihannya)

Atau adakah cuba menjejak langkah berdasarkan langkah DSAI semasa menuntut dahulu?

Apakah motif mahasiswa ini..saya pun tidak faham..

Wallahualam...