Sabtu, Mei 03, 2008

2P - Persepsi & Perspektif

Termanggu seketika memikirkan komen-komen yang diterima (on & offline). Ada yang membina, dan ada juga yang agak kurang.

Blog ini ditulis kerana cuba mengutarakan pandangan dari satu sudut, yang cuba kita fikirkan apakah kita secara keseluruhannya membantu membina masyarakat yang seimbang kemajuannya dari segenap segi. Kita pasti tidak mahu kemajuan material yang dicapai tidak terkejar oleh pembinaan sahsiah (untuk Islam sudah tentu iman dan taqwa). Lebih terasa terduduk mendengar sebahagian doa khatib dalam khutbah kedua Jumaat menyebut "semoga generasi muda tidak terpesong jalan" (atau yang lebih kurang begitulah maksudnya sebab semacam terkejut dengar pada masa itu). Kalau ok lah sangat generasi sekarang, masakan doa ini diselit dalam khutbah jumaat. Kenapa?

Artikel-artikel yang terbit sebelum ini berkisar kepada persepsi dan perspektif saya. Sesungguhnya saya tidak melarang orang berniaga mahupun kerja di luar negara. Keduanya tidak salah baik undang-undang islam atau negara. Kepada yang berjaya, tahniah diucapkan dan teruskan usaha anda. Yang saya cuba utarakan lebih kepada soal tanggungjawab. Contoh, guru BERHENTI menjadi guru sebab berniaga dengan menggunakan alasan Rasulullah menggalakkan perniagaan (atau apa jua alasan lain..oh ya, sunnah lain ikut tidak?). Atau, orang bekerja dalam kerjaya yang kritikal jumlahnya di Malaysia, berhenti kerja sini untuk kerja di luar negara kerana tawaran berganda-ganda (yang memang dihantar ke sana tidak termasuk dalam situasi ini).

Ya, itu hak individu untuk menentukan apa yang ingin dilakukannya. Rezeki berada di mana - mana. Selagi ianya di bumi Allah dan halal, teruskan. Tiada siapa dapat menghalang. Cuma beberapa soalan yang harus kita fikirkan. Adakah tindakan yang kita ambil menyumbang kepada kepada pembangunan diri dan masyarakat? Apakah kita menghargai sumbangan orang lain? Cuba kita renungkan...

Antaranya...

KLCC yang tersergam indah yang dibangga-banggakan, apakah 100% usaha orang Malaysia? Memang ada orang kita, tetapi berapa ramai? Teknologinya, adakah daripada orang kita? Tenaga buruhnya, orang kitakah? Bayaran untuk projek ini, adakah 100% mengalir dalam negara kita (untuk kitaran pertama)?

Keduanya, tidak lama dahulu keluar artikel kurangnya doktor di Malaysia. Bukan kerana tidak ramai yang mengambil jurusan kedoktoran, ada, tetapi tidak mencukupi untuk masyarakat Malaysia. Kalau betul cukup, takkanlah kadar jam "on-call" di Malaysia lebih tinggi dari Ireland?

Ketiga (sebelum saya mengakhiri nukilan kali ini), fikirkan senario pendidikan di negara kita dan hasilnya. Keputusan peperiksaan memang menunjukkan kadar peningkatan mengikut statistik Kementerian setiap tahun (lebih kurang). Akademik? Mungkin berjaya...sahsiah? Perhatikan berapa ramai yang terlibat dalam dadah, pecah amanah, dan jenayah-jenayah yang lain. Ini baru kadar jenayah yang setiap tahun pasti beribu (yang dilaporkan..yang tidak?). Bagaimana dengan cara hidup? Yang agamanya ISLAM, islam kah? Di bulan puasa sebagai contoh, berapa ramai yang tidak berpuasa (ditangkap atau tidak tetapi yang betul-betul uzur dikecualikan)? Ini belum mengambil kira seks bebas dan minum arak. Islamkah? Berjayakah mereka sebagai muslim?

Yang berminat untuk muhasabah diri, silakan...kita sama-sama cuba nilaikan buruk & baik. Kalau nak fikir yang positif, fikirlah tetapi jangan lupa yang negatif. Cuba kurangkan yang negatif...

Wallahualam...

Tiada ulasan: