Khamis, September 25, 2008

Cakap Talak Selupa Bikin (Cakap Tak Serupa Buat)

Pastinya ungkapan ini tidak asing bagi kita. Biasanya tutur kata itu terpacul keluar bila mana sesuatu yang dijanjikan tidak dikotakan. Janji di sini bukan semesti akujanji yang formal, tetapi ungkapan seperti "Nanti aku buat", "Akan dilaksanakan" atau mana-mana yang seangkatan dengannya terucap. Ianya sudah, sedang dan boleh berlaku baik dalam bidang politik, perniagaan, pekerjaan mahupun urusan seharian.

Kebiasaannya, ungkapan ini terkeluar berserta perasaan kurang senang kerana kegagalan pihak yang berjanji gagal mengotakan kata.

Ianya bukan semesti berlaku dalam urusan kita, tetapi juga di hadapan mata kita di antara satu pihak dengan pihak lain. Bagi rakyat Malaysia umumnya, kejadian ini sedang berlaku terang-terangan. Dari 16 September hinggalah 24 September yang akhirnya tidak bertarikh, barisan MP yang akan melompat, tidak direalisasikan lagi. Bukan memihak mana-mana parti politik, tetapi saya memberi pandangan dari sudut neutral. Hairan saya kerana apabila difikirkan secara logik akal, bagi seseorang yang tidak pernah lelah berhenti melaungkan perubahan dan pernah menyokong demonstrasi secara tidak langsung mahukan 'pertukaran tampuk pemerintahan berjalan lancar'.

Itu cerita satu pihak. Di satu pihak lagi, pernah terdetik suatu kisah ketika untuk minyak tidak naik harga. Kata terucap tidak tersokong kurang dari jarak masa kita boleh terlupa, harga minyak naik yang menyebabkan ramai 'naik minyak'. Akan tetapi, syukurlah, sedikit sebanyak penurunan harga bahan mentah yang diumumkan 2 kali sejak kenaikan menyejukkan sedikit hati rakyat jelata.

Di pihak yang berkaitan pula, iaitu para peniaga, sungguh cepat naik harga apabila sesuatu terjadi (baik berita baik - bonus mahupun kenaikan gaji sektor kerajaan, mahupun berita kurang elok seperti kenaikan harga minyak), tetapi cukup susah untuk turunkan harga. Apabila harga barang naik, peniaga acapkali menggunakan alasan "kerugian", tetapi apabila harga turun, tiadalah pula kedengaran suara-suara sumbang para peniaga. Dan ada yang tidak kurang juga peniaga yang mengambil kesempatan di atas toleransi pihak berkaitan dengan perniagaannya. Sebagai contoh, pinjaman yang diberikan. Apabila perjanjian sudah termaktub, tunaikanlah perjanjian itu.

Saya bukan memandang negatif ke atas semua perkara. Baik berpolitik, berniaga mahupun apa jua urusan seharian, tiadalah semuanya hodoh dan buruk serta kotor. Cuma, yang menjadikan ia adalah sikap sebilangan kita sendiri. Sebagai contoh, ada yang terang mengatakan polis mengamalkan rasuah. Perlu diingatkan, tidak semua bersikap begitu. Seandai majoriti atau semua polis rasuah, saya rasa, perompak penyamun mampu membayar pihak polis untuk tidak menangkapnya selepas melakukan rompakan. Dan pastinya, hidup kita sudah lama tidak aman.

Ramadhan bakal pergi meninggalkan kita. Entah bila kita berkesempatan menemuinya lagi. Sama-samalah kita, baik saya mahupun saudara saudari mengambil segala kesempatan yang ada untuk menunaikan janji kita kepadaNya saat roh ditiupkan ke jasad kita.

Semoga kita tidak tergolong dalam golongan munafik yang cakap talak selupa bikin...

Wallahualam...

2 ulasan:

Kerambit berkata...

Siddiq & amanah.
saya yakin di situ kuncinya.

Tanpa Nama berkata...

assalamualaikum,

artikel nie memang tepat pada masanya. bukanlah sekadar mengaitkan dengan senario politik negara yang telah lama 'panas', tp jika direnungkan dalam2, mgkn inilah perkara yang telah lama hilang dalam amalam hidup kita.

terfikir juga ttg kisah (tak pasti fiksyen atau benar) hamba Allah yang ingin mengubah amalan komunitinya yang mmg terang2 melanggar hukum Islam. pelbagai usaha yang dibuat gagal namun, setelah dia mengubah dirinya sendiri kepada yang lebih baik, orang2 lain yang sekelilingnya juga beransur2 berubah.

kata akhirnya, perubahan tidak semestinya kita merubah segalanya. Allah SWT juga tidak akan merubah nasib sesebuah kaum jika mereka tidak mengubah nasib mereka itu sendiri.

wallahu'alam