Selasa, Julai 15, 2008

Pemimpin, kepimpinan & Debat (Pasca Debat DSAI & DASC)

Pastinya pada pukul 9 malam (atau mungkin lebih awal daripada itu), 15hb Julai 2008, berpasang-pasang mata melekat dan terlekat di kaca televisyen menonton TV9 atau ASTRO Awani. Dua watak yang secara langsung terlibat dalam dunia politik Malaysia berdebat isu harga minyak yang naik secara mendadak tidak lama dahulu.

Apa yang saya cuba ulaskan disini bukan untuk memihak kepada sesiapa kerana saya percaya mereka mempunyai sumber informasi yang lebih daripada saya dalam isu minyak ini. Namun, apa yang menarik perhatian saya adalah cara bagaimana kedua-dua hamba Allah ini berhujah dan disaksikan beribu atau berjuta pasang mata dan didengari berpasang-pasang telinga yang kedua panca indera itu menyalurkan maklumat yang diterima untuk dianalisakan oleh otak masing-masing mengikut kadar keupayaan masing-masing.

Isu minyak adalah isu global. Kenaikan harga minyak ternyata memberi kesan kepada dunia secara amnya. Sumber alam ini kian kontang simpanannya. Mungkin ya, kenaikan harga minyak itu perlu berdasarkan pengiraan dan kajian oleh pihak-pihak yang terlibat yang lebih pakar daripada umum. Namun, penyampaian dan mesej yang cuba disampaikan bagaikan tidak begitu terang dan jelas.

Saya pasti, berpuluh (mungkin beratus) blog akan mengeluarkan analisa masing-masing tentang hujah-hujah kedua-dua pemimpin tersebut. Akan ada yang akan menyokong dan akan ada yang menentang.

Cukuplah untuk saya ambil pengajaran bahawa, sebagai seorang pemimpin, seseorang itu bukan sahaja perlu cekap memimpin dan bekerja, tetapi juga perlu bijak dalam menjalankan urusannya, termasuklah berdebat apabila diperlukan. Berdebat dalam erti kata yang sihat untuk kebaikan bersama. Mesej yang disampaikan perlu jelas dan menarik perhatian pendengar. Selain itu juga, seharusnya apabila membuat perbandingan, biarlah setara dan selayaknya. Biarlah buah rambutan dibandingkan dengan rambutan, bukan dengan buah rambai.

Pemimpin yang baik akan kelihatan lemah apabila hujah yang disampaikan tidak dapat menembusi akal atau kelihatan tidak logik kepada pendengar. Dan secara semulajadinya, kegagalan berhujah dengan baik akan menggoyahkan keyakinan baik pemimpin itu sendiri mahupun para pendengarnya. Dan yang pasti akan memberi kelebihan kepada satu lagi pihak untuk mengeksploitasikan "kelemahan" yang sekejap itu untuk menjadikan ia "kelemahan jangka panjang".

Wallahualam...

Tiada ulasan: