Isnin, Julai 07, 2008

Kepimpinan Melalui Teladan - Malaysia dalam sebulan

10 tahun yang lalu, saya masih dibangku sekolah. Senario politik terhad dengan akhbar-akhbar utama menjadi sumber selain cakap-cakap yang tersebar. Usia ketika itu boleh dikatakan masih mentah. Namun, akal dan fikiran masih mampu menilai kepimpinan dan karisma watak-watak 10 tahun dahulu. Di dalam lipatan sejarah, sekurang-kurangnya Malaysia berjaya mengharunginya.

10 tahun itu sudah berlalu. Seakan jangkaan ramalan kegawatan ekonomi dalam setiap 10 tahun, politik Malaysia kali ini turut gawat. Keberkesanan kepimpinan teruji lagi. Kepimpinan di sini bukan sahaja perlu diperlihatkan oleh Perdana Menteri serta menteri-menteri kabinetnya, malah watak-watak yang mengimpikan kuasa politik di Malaysia ini turut perlu mengotakan apa yang dikata. PRU 12 sudah berlalu berbulan dahulu. Namun, golongan pemimpin seakan masih tidak mampu memimpin. Rakyat bagaikan jadi mangsa 'pertarungan' watak-watak utama, seakan perang sudah melanda. Bezanya, jika dahulu nyawa askar dan tentera jadi cagaran (rakyat sekadar kena tempias), tetapi kini hidup rakyat jadi taruhan.

Bagaikan menambah luka yang sedia ada, harga minyak 'naik minyak'. Bahang keruduman ekonomi bagaikan membakar hati dan jiwa rakyat. Agaknya apakah hasil dan sumbangan debat Datuk Ahmad Shabery Chik dengan Datuk Seri Anwar kepada penyelesaian permasalahan rakyat jelata ya?

Mungkinkah sesetengah pemimpin lupa akan tanggungjawab kerana terlalu seronok dengan "ganjaran" dipilih sebagai pemimpin masyarakat? Tidakkah kita sedar (kerana dikalangan kita merupakan pemimpin, hatta pemimpin keluarga) salah silap, kita tanggung dulu bila di akhirat nanti? Pemimpin keluarga baru skala yang kecil sudah berat azabnya, apakan lagi pemimpin masyarakat, negeri dan negara. Atau apakah mata pelajaran Pendidikan Islam sekadar pengisi kuota permarkahan dan syarat, tetapi intipatinya langsung tidak singgah dihati dan akal?

Bagi saya, apa yang terkandung dalam Penyata Razak dan Penyata Rahman Talib sudah cukup untuk memberi asas dalam membentuk peribadi masyarakat Malaysia yang diimpikan (dalam kontkes maju dari segi ilmu dan sahsiahnya) andai pengisiannya dihayati dan dipraktikkan.

Melaka jatuh dikala Tun Mutahir difitnah dan penggantinya Tun Perpatih Putih tidak termampu menunaikan tanggungjawabnya sebagai bendahara Melaka. Apakah Malaysia juga berkongsi nasib yang sama?

Nauzubillah...

p/s: Akan tetapi, jika difikir-fikirkan, sekurang kurangnya Kesultanan Melayu Melaka mampu bertapak 110 tahun..Malaysia? Baru 51 tahun, tetapi sudah mula goyang dek kelemahan kita sendiri, tidak terhad kepada pemimpin, tetapi kita semua....

Tiada ulasan: