Selasa, Julai 22, 2008

"Sindrom Blog" & "Sindrom Blok"

Nukilan ini tercatat berdasarkan pemerhatian ke arah persekitaran saya. Mungkin ianya tidak seluas anda yang membaca, ataupun lebih luas dari jangkaan saya. Apapun, harapnya dapat memberi sedikit sebanyak untuk difikirkan bersama.

Pada musim pra-PRU12, umum dapat melihat kempen pihak Barisan Nasional menerusi arus media perdana. Kreatif, namun menjadi antara punca kepada Sindrom "Blog" mula menular dikalangan pembaca yang tidak lagi bergantung kepada arus media perdana semata untuk mendapatkan maklumat. Blog-blog mula terbit dan mengandungi pelbagai "informasi" dan pandangan bloggers. Pasti, ada yang pro-kerajaan, pro-pembangkang dan ada yang ambil jalan tengah. (Nota: Artikel ini merujuk kepada blog yang memberi informasi berkaitan isu-isu dalam negara, bukan blog yang menukilkan aktiviti harian)

Kesan "Sindrom Blog" ini sedikit sebanyak mewarnakan lagi "keceriaan" isu semasa Malaysia. Apatah rencahnya bertambah dengan kes liwat (meliwat atau diliwat, saya kurang pasti kerana kurang pasti dengan kesahihan maklumat yang tersebar) DSAI.

Pada pandangan saya, ada satu lagi rempah ratus kepada "sedap"nya "Sindrom Blog" ini, iaitu "Sindrom Blok". Sindrom ini saya takrifkan sebagai ketidak upayaan pembaca menganalisa informasi yang diterima dengan membuat perbandingan dengan maklumat-maklumat lain atau ketaksuban terhadap sesuatu perkara. Dalam erti kata mudah, "Mental Blok" (mental block). Dalam keadaan ini, maklumat yang diterima (yang dianggap sahih dan benar) akan terpahat melekat di otak dan menyukarkan maklumat yang kurang meyakinkannya masuk untuk sekurang-kurangnya timbang tara dapat dibuat.

Bak kata pemimpin-pemimpin kita (atau ahli politik kita, tidak kira Barisan Nasional atau tidak berapa nasional), rakyat sudah semakin bijak menilai. Gunakanlah otak untuk berfikir secara rasional dengan mengambil kira maklumat dan "maklumat" yang ada. Kita kata pemimpin jangan cepat melatah.

Hakikatnya, kita juga tidak boleh cepat melatah...

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

:)