Ahad, Julai 27, 2008

"Kotak"mu, "kotak"ku & "kotak" kita

Baru hanya sebentar tadi saya berkesempatan menonton "Rocky Balboa" di kaca tv menerusi saluran ASTRO. Sebuah kisah yang agak menarik dan "menarik" otak saya untuk berfikir sebentar berdasarkan teladan daripada fiksyen tersebut (walaupun ianya sekadar cerita rekaan, namun tetap punya nilai andai kita mampu memikirkannya) dengan beberapa artikel dan ulasan yang sempat dibaca dalam beberapa hari ini.

Antaranya, sebuah artikel daripada akhbar The Star yang yang diberikan oleh seseorang kepada saya bertajuk "Think inside the box" (Berfikir di dalam "kotak"), artikel-artikel/berita-berita semasa (termasuklah kisah Perdana v Mercedes) dan artikel Tun Dr Mahathir berserta komen-komen yang diterima.

Hasilnya...

Sebagaimana yang ternukil dalam artikel "Think inside the box", "kotak" yang "membungkuskan" kita ini adalah sejarah hidup kita yang menjadikan siapa kita pada hari ini. Kebiasaannya, kita akan "disuruh" untuk berfikir "Out of the box" untuk maju ke hadapan, berfikir "didalamnya" akan menjadikan kita kononnya berfikir agak sempit. Benarkah?

Apa yang terkandung didalam "kotak" kita, itulah kita. Luas atau sempit, bergantung kepada bagaimana kita lalui hidup kita selama ini. Untuk bergerak ke hadapan, penilaian harus dibuat berdasarkan apakah nilai-nilai yang kita ada dan peluang dan kreativiti di luar "kotak" kita. Keduanya, baik luar dan dalam "kotak" tidak harus diabaikan atau dipinggirkan. Daripada "dalam kotak" sejarah kita belajar akan salah silap kita dahulu dan diambil teladan untuk tidak jatuh tersungkur dek kesilapan yang sama. Di"luar kotak" pula, kita gunakan untuk membentuk hidup yang lebih baik daripada hari yang sebelumnya. Jika hanya menggunakan "dalam kotak", kebarangkalian gelaran "katak di bawah tempurung" bakal diraih. Namun, jika hanya bergantung kepada "luar kotak", diri kita akan hanyut tanpa nilai murni, tanpa etika, tanpa sahsiah.

Berdasarkan artikel itu, minda ini "hanyut" mengimbas "kisah-kisah" di dada akhbar dan blog-blog. Saya menjadi hairan dengan mentaliti kita hari ini, antara sedar atau tidak, lebih mencari salah silap orang lain daripada cuba menyelesaikan apa jua masalah yang tercipta. Daripada "kotak" masing-masing, satu jari dituding ke arah orang lain tanpa sedar sekurang-kurangnya tiga jari menuding ke arah diri sendiri. Apakah diri masing-masing terlalu maksum, tiada salah dan silap?

Saya cuma mampu mengharap, kita semua yang punya akal yang waras, gunakan luar dan dalam "kotak" kita untuk menjadikan saat dan detik yang mendatang lebih baik dari hari semalam. Bak kata iklan jalan raya - "Anda mampu mengubahnya"

Wallahualam...

p/s: Terdetik di"kotak"ku ini, kita marah "Nasi" ("Rice") campur tangan urusan tanahair kita, yang mana mungkin diperspektif mereka, kita seumpama orang yang bodoh sombong yang tidak mahu diterima ajar. Janganlah kita buktikan kita sebebal yang mereka fikirkan...

Tiada ulasan: