Jumaat, Oktober 10, 2008

Al-Kisah Andipool: Mari Kita Main Tuding Jari


Nukilan kali ini tercetus kerana pembacaan dan pemerhatian saya komen-komen yang tersurat di laman blog Jebat. Bagi yang membaca isi kandungan artikel Jebat dan juga ulasan-ulasan yang diterima (yang juga dimaklumbalas oleh Jebat), pastinya kelibat "Andipool" tidak lekang kelihatan memberi ulasan. Biarpun, nyata dan jelas ada antara ulasan diberi merupakan potong dan tampal, namun, "mesej"nya dapat disampaikan. Cuma, agaknya, mesej Jebat dan pembaca lain tidak tersampai kepadanya.

Saya di sini bukan untuk mengulas isi kandungan apa yang disampaikan oleh Andipool. Akan tetapi, lebih kepada mentaliti pemikirannya berdasarkan persepsi pemikirannya. Ianya tiadalah sesuatu yang unik, cuma ianya "menarik".

Ada pepatah mengatakan "Mata pena lebih tajam dari mata pedang". Ketajaman Mata Pedang itu berdasarkan penulisan yang hasil akal dan minda yang menyuratkan yang tersirat. Pengaruh penulisan dalam hidup dan pemikiran kita memang tidak dapat dinafikan. Bermula daripada Mata yang membaca (atau tangan yang merasa bagi yang buta), maklumat yang dibaca dihantar ke otak untuk ditafsirkan. Cuma, antara yang menjadi pembentuk peribadi kita adalah, sumber pembacaan, isi kandungan dan ideologi yang cuba disampaikan oleh penulis. Dari pembacaan, penglihatan, pengalaman, dan pelbagai 'pe' lagi, persepsi minda akan terbentuk.

Siapakah Andipool ini? Berdasarkan salah satu ulasan yang diberi ialah: "Yes, I am not a Malay but an East Malaysian bumiputra–the orang asal. As for my profession, I am a civil servant. I am an officer in the grade 41 category for 20 years. A junior 2nd generation Indon(now considered a Malay like Khir Toyo) was promoted over me." Kenyataannya ini saya ambil bulat-bulat daripada ulasannya sendiri. Apa yang dapat kita perhatikan?

Daripada pengamatan saya, dia merintih nasibnya dan menyalahkan orang lain di atas ketidak upayaannya sendiri. Dengan mengatakan orang yang lebih muda daripadanya dinaikkan pangkat, dia menyalahkan orang lain diatas kejadian tersebut. Cuba fikirkan..dia telah bekerja 20 tahun, iaitu satu tempoh yang lama untuk mana-mana sektor pekerjaan. Dia kurang berjaya dinaikkan pangkat, tetapi dia menyalahkan Tun Dr Mahathir diatas segala polisi kerajaan zaman pemerintahan Tun (walaupun ada yang sejak zaman Tunku, Tun Razak, Tun Hussein Onn dan juga di zaman Pak Lah).

Saya pernah bertembung dengan beberapa orang yang juga menyalahkan Tun di atas kekurangan yang dialami oleh sesetengah pihak di Malaysia ini. Antara persoalan yang pernah ditimbulkan ialah, kenapa Tun tidak menurunkan ilmunya kepada orang-orang lain dan menerangkan secara jelas bagaimana mahu lakukannya. Terkadang, geli hati juga, tetapi ia sebenarnya bukan sesuatu yang melucukan.

Hakikatnya, kita dianugerahkan akal dan minda untuk berfikir. Ilmu dan pengetahuan yang diperolehi, haruslah dinilai apakah ianya benar atau tidak. Jika benar, amalkanlah ia. Jika membawa kepada keburukan, ambil teladan dan cari penyelesaiannya. Andai Saudara Andipool ini kurang berjaya, seharusnya dia mencari di mana silapnya dia sampaikan tidak dinaikkan pangkat. Cuba perbaiki diri sendiri daripada asyik meuding jari ke arah orang lain. Contoh Andipool ini merupakan salah satu kisah antara berjuta rakyat Malaysia.

Ada antara kita yang 'terperangkap' dalam isu ini dan tidak menyedarinya. Terkadang, kita lebih suka menuding jari daripada mencari jalan penyelesaian terhadap permasalahan yang dihadapi. Tiadalah salah untuk berhenti atau langkah kebelakang seketika untuk menilai diri sendiri sebelum melangkah kehadapan. Pepatah ada mengatakan, "Berundur tidak semestinya Kalah". Fikir-fikirkanlah...

Apakah kita terlupa, secara fizikal dan normal apabila menuding jari..berapa jarikah yang menunjukkan kepada diri sendiri???

Wallahualam....

Tiada ulasan: