Jumaat, Oktober 17, 2008

Analogi Tikus Belanda: Businessmen's Blunder?


Jika pada April '08 dahulu, "analogi tikus belanda" versi saya sendiri ternukil, kali ini tidak jauh beza mesej yang cuba disampaikan. Cuma, kali ini mengambil kira etika peniaga/usahawan yang sesetengahnya teramat opportunist sehingga sunnah Rasulullah yang satu ini, iaitu berniaga disalaherti dan dipraktikkan secara tidak beretika.

Mari kita imbas senario pada tahun ini sahaja. Sejak kenaikan mendadak harga minyak, kebanyakan harga barang-barang naik dengan alasan untuk menanggung kos pengangkutan. Bukan sahaja barang seharian, tetapi, untuk sesetengah yang menjual perkhidmatan, pun turut serta menaikkan harga. (Harga barang naik, harga perkhidmatan naik...gaji pekerja???). Alasan kebanyakan peniaga dan usahawan kerana harga minyak naik saya terima secara logik akal. Kenaikan 70 sen bagi petrol amat dirasai. Bagi yang makan gaji yang cuma menggunakan petrol untuk pergi dan balik kerja pun terasa bebannya, inikan pula para peniaga dan usahawan yang saya kira perlu berjalan ke sana sini menguruskan dan memperkembangkan perniagaan. Memang parah.

Itu berbulan dahulu. Sehingga ke hari ini, harga minyak telah diturunkan beberapa kali. Namun, peniaga-peniaga tidaklah pula hendak turunkan harga. Apa pula ya alasan kali ini?

Pagi tadi, saya berkesempatan mendengar radio ERA yang membuka topik tentang harga minyak turun dan harga barang. Pada mulanya, saya menjangkakan, tiada peniaga yang akan menelefon memberikan pendapat, tetapi jangkaan saya meleset. Ada juga hamba Allah yang memberi komen. Cuma, yang menariknya, hamba Allah ini memberitahu, ianya terpulang kepada pembekal. Bermakna disini, si peniaga ini meletakkan kesalahan kepada pembekal pula. Bukankah, pembekal itu juga peniaga dari satu aspek? Jika yang membekal adalah para petani dan penternak, saya pasti majoriti "Top 1000" orang paling kaya di Malaysia ini terdiri daripada golongan petani dan penternak. Sudah tentu, tiadalah petani atau penternak yang hidupnya kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Apakah ini realitinya?

Saya akui, salah satu prinsip asas dalam berniaga adalah untuk mencari keuntungan. Namun, apalah nilai keuntungan nilai wang ringgit andai sosial ekonomi masyarakat menjadi porak peranda. Kita ambil contoh keadaan sosial ekonomi di negara jiran kita, Indonesia. Golongan kaya mereka adalah lebih kaya daripada golongan kaya di Malaysia. Tetapi, yang miskin, lebih miskin daripada golongan miskin rakyat Malaysia. Hendakkah kita akan keadaan itu di sini? Berdasarkan keadaan sosio-ekonomi Indonesia itu, apakah kita harus hairan mengapa begitu ramai rakyat Indonesia di negara kita?

Kestabilan ekonomi negara bukan hanya terletak kepada polisi dan perlaksanaan kerajaan, kestabilan politik, kemajuan teknologi dan isu alam sekitar, tetapi juga kuasa beli rakyat dan juga kadar inflasi. Jika salah satu terganggu, maka pincanglah harmoni sosio-ekonomi negara.

Kerana itu, setiapkali ekonomi sesebuah negara bergolak, kita harus fikirkan apakah puncanya. Kerap kerajaan dipersalahkan, bukan golongan yang berniaga (Takkan salah orang yang makan gaji pula, kan?). Kita ambil contoh krisis kewangan sub prima yang melanda Amerika Syarikat dan menular ke Eropah. Hasil daripada para peniaga yang ingin keuntungan yang segera, sesebuah kerajaan terpaksa menggunakan DUIT RAKYAT untuk menyelamatkan PENIAGA yang tamak.

Sesungguhnya, saya tidaklah melabel semua peniaga sebagai tamak dan tidak beretika. Ada yang baik dan beretika. Cuma, kerana segelintir yang LUPA akan putaran hidup ini (kerana GELAP dek panahan kemewahan wang ringgit) yang menyebabkan ramai yang menderita. Ini belum mengambil kira halal haram mengikut perspektif Islam.

Umpama "terdengar guruh dilangit, air ditempayan dicurahkan tika belum tentu turunnya hujan" lagak peniaga yang tamak. Jika tamaknya umpama anjing dan bayang-bayang tidak mengapa, tetapi saya kecewa bilamana tamaknya peniaga itu menyebabkan orang lain turut terkena...

Wallahualam...

2 ulasan:

Kerambit berkata...

bila peniaga2 ni nak turunkan harga barang?
minyak dah turun, peniaga wat senyap jer..
masa minyak naik, semua bising..terpekik terlolong..
bila minyak turun semua senyap..
berdecit pun tak bunyi.
mana suara @ press statement DPMM @ persatuan2 peniaga?
di mana FOMCA?

al-razi959 berkata...

tiadalah tahu mengapa...tengah tunggu perkembangan suasana yang seterusnya kut...